Peristiwa Kontroversi novel Interlok

Penggunaan novel Interlok dalam Komponen Sastera Bahasa Malaysia Tingkatan Lima mendapat tentangan hebat sejak tahun 2011 membuka tirai, khususnya daripada masyarakat berketurunan India di Malaysia yang diwakili oleh pelbagai pertubuhan. Mula-mula, Kongres India Malaysia (MIC) menggesa supaya menarik balik buku itu atau menggugurkan isi-isi kandungan yang menyentuh sistem kasta dalam buku itu[11], ataupun sekurang-kurangnya perkataan "pariah" digugurkan sahaja.[12] Presiden MIC, G. Palanivel, menggesa penarikan buku itu kerana tidak sejajar dengan semangat 1Malaysia.[13] Parti Progresif Penduduk, sebuah lagi parti komponen Barisan Nasional yang banyak dianggotai oleh kaum India, turut membuat tuntutan supaya buku itu ditarik balik.[14]

Biro Pengaduan Awam (BPA) mendapat 27 aduan daripada masyarakat India yang tidak puas hati dengan novel itu. [15] Selepas bertemu dengan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pelajaran, mereka bersetuju membawa usul kepada Menteri Pelajaran agar mempertimbangkan sama ada unsur sensitif itu di buang atau mengharamkan novel itu.

Oleh itu, Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula penggunaan novel Interlok itu pada 6 Januari 2011, sama ada buku itu harus ditarik balik atau dikekalkan dengan pindaan.[16] Pada 27 Januari, diumumkan bahawa novel Interlok kekal sebagai buku teks komponen sastera Tingkatan Lima, tetapi dengan beberapa pindaan terhadap kandungan yang didapati menyinggung itu.[17] Sebuah panel bebas ditubuhkan pada 16 Februari untuk mengkaji dan membuat usul pemindaan kandungan Interlok dalam masa sebulan.[18]Pada 8 Januari 2011, kira-kira 100 penduduk di Klang membakar poster novel Interlok dan gambar Abdullah Hussain. Turut hadir dalam demonstrasi itu ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan.[19]

Persatuan Penulis Nasional (Pena) menerusi Setiausaha Agungnya, S. M. Zakir bimbang dengan polemik itu. Pada 8 Januari 2011, di rumah Pena, Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad menyatakan Pena kekal dengan pendirian untuk tidak bersetuju dengan sebarang pindaan terhadap novel itu. Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengerusi Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Prof Madya Dr Datuk Mohamad Ali Hassan. Gapena juga pada umumnya tidak setuju dengan pindaan dan menyokong kebebasan pengarang untuk menulis novel.[20]

Keputusan mengekalkan penggunaan novel Interlok dibantah kuat oleh ramai dari golongan India, umumnya atas sebab bahawa kaum India digambarkan dengan sifat-sifat negatif dalam buku ini. Sebaik sahaja panel pemindaan novel Interlok diumumkan, Persatuan Hindu Sangam Malaysia mula-mula meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan itu.[21] Wakil-wakil rakyat yang berketurunan India menerima gesaan supaya memulaukan panel itu.[22] Antara yang terus membuat tuntutan supaya buku Interlok ditarik balik ialah segugusan lebih 200 pertubuhan bukan kerajaan yang bergabung di bawah nama Pasukan Bertindak Interlok Kebangsaan (National Interlok Action Team, NIAT), yang mengugut bahawa mereka akan mengantarabangsakan isu Interlok sekiranya Kementerian Pelajaran enggan menarik balik novel itu.[23]

Tidak ketinggalan juga dalam pembantahan novel Interlok adalah Parti Hak Asasi Manusia yang mengadakan tunjuk perasaan serentak di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan pada 13 Februari 2011, yang menyaksikan seramai 58 orang ditahan.[24] Ini disusuli oleh tunjuk perasaan anjuran HINDRAF pada 26 Februari 2011, di sekitar perkarangan KLCC yang bertujuan bukan sahaja untuk membantah novel itu, bahkan mengecam pemerintahan UMNO yang 'rasis'.[25]

Pada 17 Mac 2011, sumber berita menyiarkan bahawa panel khas Interlok itu gagal menyelesaikan tugasnya dan didakwa sudah bubar pada 4 Mac, apabila tiga orang ahli berketurunan India menarik diri daripada panel tersebut.[26] Ujar Uthaya Sankar SB, salah seorang ahli panel India itu, beliau bersama dua rakannya, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr NS Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran G Krishnabahawan, meninggalkan panel itu kerana berasa dikhianati.[27] Akan tetapi, kenyataan itu disangkal oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berhujah bahawa mereka bertiga itu belum mengundurkan diri tetapi sekadar mengalami salah faham.[27] Ekoran itu, ahli parlimen Klang, Charles Santiago membidas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyifatkannya tidak lagi boleh dipercayai bagi menangani isu Interlok kerana panel bebas itu telah "hilang legitimasinya".[28]

Menurut wakil-wakil India yang menganggotai panel itu, pihak mereka telah mencadangkan supaya 106 perkara dipinda dalam novel itu[29], tetapi pada awalnya, Kementerian Pelajaran hanya menerima 19 pindaan tersebut, termasuk pengguguran perkataan "pariah"[30][31], tiga perkara yang menyentuh sistem kasta[30][31], dan ungkapan "orang berkulit hitam"[30][31]; penukaran istilah "tuhan" kepada "dewa"[30][31]. Tambah Tan Sri Muhyiddin Yassin, "Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai."[30][31] Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan bahawa panel tersebut bersetuju supaya tujuh perkara disisipkan errata untuk "membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India."[30][31] Dengan pindaan itu, Kementerian Pendidikan tetap dengan pendirian supaya novel Interlok digunakan sebagai bahan bacaan Komsas Tingkatan 5.[30][31]

Biarpun selepas pindaan itu, penggunaan novel Interlok dalam sekolah tetap dibantah oleh Pasukan Bertindak Interlok Kebangsaan (NIAT). Menurut Pengerusi NIAT, Dato Haji Thasleem Mohamed, novel Interlok yang dipinda itu bercanggah dengan ajaran Islam kerana masih terdapat bahagian yang bertentangan dengan ajaran al-Quran yang melarang umat daripada "mencemarkan dan mengaibkan puak lain serta memberikan panggilan yang buruk kepada orang lain."[29] Pihak NIAT juga dilaporkan mengancam untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat selaku barisan pembangkang Malaysia sekiranya buku itu tidak ditarik balik dari sukatan pelajaran. Jelas Thasleem lagi, "Saya dari awal sudah beritahu semua orang, kita tidak mahu mempolitikkan isu ini, tapi jika kerajaan tidak ambil tindakan sewajarnya, kita mungkin terpaksalah mengadakannya, bukan dengan Pakatan saja, sesiapa panggil pun kita pergilah."[32]

Rujukan

WikiPedia: Kontroversi novel Interlok http://www.asiaone.com/News/Latest+News/Asia/Story... http://www.cwo.com/~lucumi/bigotry.html http://www.freemalaysiakini.com/modules.php?name=N... http://www.freemalaysiakini.com/modules.php?name=N... http://www.freemalaysiatoday.com/2011/01/06/najib-... http://www.freemalaysiatoday.com/2011/02/01/boycot... http://www.freemalaysiatoday.com/2011/02/13/pull-o... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://karyawanluarnegara.com/?p=1748